13 Disember 2010

Masalah sosial resahkan ibu bapa

SETIAP ibu bapa dan guru menghadapi cabaran dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa menghadapi cabaran semasa anak-anak berada di rumah pada Sabtu dan Ahad serta pada masa cuti sekolah. Manakala guru menghadapi masalah dalam pendidikan ketika murid atau pelajar berada di sekolah.
Cabaran gejala sosial di luar sangat membimbangkan malah menakutkan semua ibu bapa dan guru.
Begitu juga pemimpin masyarakat yang berperanan membanteras gejala sosial. Pelbagai berita yang memaparkan gejala sosial di kalangan remaja meresahkan ibu bapa ahli masyarakat. Jika membaca apa yang disajikan Harian Metro, keadaannya sungguh menakutkan. Antaranya pada 10 November lalu memaparkan, “Remaja 16 tahun mengaku bersetubuh”, “Lari berbogel; lelaki masuk semak ketika diserbu bersama pasangan dalam kereta”, “Pelajar tingkatan 4 lahirkan anak” dan “Remaja lari rumah dicekup berkesedudukan, tak endah teguran ibu bapa”.

Tajuk berita itu seharusnya menjadi renungan setiap ibu bapa, pemimpin masyarakat dan guru. Jika tidak ia mungkin akan menimpa anak-anak kita jika tidak dipantau sebaik-baiknya.

Mendidik anak pada masa kini semakin menjadi sukar kerana dunia akhir zaman penuh cabaran dan dugaan. Cabaran globalisasi yang melanda dunia ketika ini, tempiasnya telah sampai ke negara kita. Pendedahan maklumat yang dapat dicapai dengan sekelip mata akan menggugat keimanan jika tiada asuhan dan didikan yang kuat dalam keagamaan. Selain didikan, pemantauan, kasih sayang mestilah diberikan kepada anak-anak. Kajian juga mendapati hampir 80 peratus anak-anak bukan saja dapat melayari Internet, malah mereka mempunyai pelbagai kemudahan seperti facebook, twitter dan laman sosial lain untuk berhubungan manakala hanya 20 peratus untuk belajar. Mereka ini akhirnya terpengaruh dengan pujukan teman lelaki tanpa pengetahuan ibu bapa. Begitu juga kemudahan telefon bimbit disalahgunakan oleh sesetengah remaja. Melalui telefon bimbit juga mereka mudah diajak keluar oleh pasangan masing-masing yang akhirnya mereka terjebak ke kancah maksiat. Kajian didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman sosial facebook rasminya hampir 50 peratus daripada individu terbabit ialah remaja perempuan belasan tahun. Keadaan ini seharusnya membimbangkan ibu bapa yang mempunyai anak gadis atau anak perempuan yang meningkat remaja.

Jika ditinjau remaja perempuan belasan tahun adalah dalam kalangan pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga lima yang seharusnya menumpukan kepada pelajaran sebagai fokus utama mereka. Bilangan gadis remaja tempatan yang lesap dari rumah seharusnya membimbangkan semua pihak. Ini berikutan perangkaan polis mendapati golongan usia terbabit adalah penyumbang terbesar kepada kes kehilangan orang di negara ini sejak beberapa tahun lalu. Mengikut laporan PDRM dalam tempoh Jun hingga September tahun ini saja, enam remaja perempuan dari beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak dilaporkan hilang. Dalam usaha ini, PDRM telah memaparkan gambar individu yang dilaporkan hilang di laman sosial facebook rasminya dalam usaha mengesan individu terbabit dengan bantuan orang ramai. Laman berkenaan mendedahkan seramai 17 individu kebanyakannya remaja berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun dilaporkan hilang. Mereka ini kebanyakannya dalam tingkatan dua hingga lima. Mereka seharusnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran sama ada di rumah atau di sekolah. Peranan ibu bapa masa kini mestilah lebih cekap, pantas dan bijak daripada anak-anak, juga lebih pantas daripada kecanggihan teknologi serta sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam masalah sosial yang dahsyat. Ibu bapa seharusnya mengetahui dengan siapa anak-anak mereka belajar dan berkawan. Alasan yang selalu digunakan oleh anak-anak di bangku sekolah ialah “belajar bersama kawan-kawan”. Selain itu, ibu bapa sentiasalah mendampingi anak-anak, didik mereka dengan nasihat.
Penerapan keimanan yang berterusan kepada anak-anak akan dapat mengelakkan mereka terjebak dalam pelbagai gejala sosial daripada godaan dan hasutan syaitan. Keimanan yang paling afdal adalah apabila seseorang itu mengetahui bahawa Allah selalu melihatnya di mana saja dia berada. Justeru, al-Quran sebagai petunjuk jalan yang lurus. Ia merupakan satu-satunya kitab suci daripada Allah yang diturunkan kepada manusia sebagai petunjuk ke jalan lurus dan mengelakkan pelbagai gejala sosial bagi orang yang beriman dan bertakwa. Umat Islam digalakkan sentiasa bertakwa dan memiliki akhlak yang terpuji pada setiap masa. Firman Allah yang bermaksud: “Kitab itu (al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa.” (Al-Baqarah:2). Sistem akhlak dan sosial manusia khususnya umat Islam mestilah berlandaskan agama, akal, jiwa, harta dan keturunan. Pendidikan yang seimbang dalam bidang ini akan dapat menjadi benteng yang kukuh ke arah keimanan. Melalui pendidikan juga menjadi benteng kepada segala gejala sosial sehingga ke akhir zaman. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya. Dan bergaul dengan manusia dengan akhlak terpuji.” (Riwayat At-Tirmidzi). Hadis ini memerintahkan kita umat Islam supaya bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan perbuatan yang baik dan terpuji yang boleh menghapuskan perbuatan tercela yang telah kita kerjakan. Anjuran supaya berakhlak baik dan mulia, disebabkan akhlak tersebut adalah antara sifat-sifat orang bertakwa. Sesungguhnya, gejala sosial dan keruntuhan akhlak dapat dipulihkan melalui pendidikan yang berteraskan keimanan dan ketakwaan. Pendidikan menjadi teras kepada pembentukan sesebuah masyarakat dan negara. Melihat pentingnya pendidikan, usaha bimbingan dan kaunseling Islam seharusnya dilakukan terhadap remaja yang terlibat dalam pelbagai gejala sosial dalam masyarakat bagi pemulihan akhlak dalam kehidupan.
Rujukan asal di sini.

Saya sendiri adalah seorang ibu dan guru. Dan saya sendiri merasa sangat susah untuk mendidik anak2 remaja saya supaya mereka faham apa yang kita inginkan. Apa yang saya nampak..mereka lebih cenderung untuk menjalani kehidupan bebas tanpa kawalan ..tambahan lagi jika ada di kalangan kawan2 nya yang memang tidak dikawal ibubapa. Mereka merasa spt..kenapa dia tak boleh? kenapa kawan2 lain boleh? mengapa...? kenapa..? Kadang-kala saya rasakan saya seolah-olah gagal dalam mendidik anak2. Betulkah? Berilah saya kekuatan untuk terus berjuang..demi masa depan mereka..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...