Memaparkan catatan dengan label KEROHANIAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KEROHANIAN. Papar semua catatan

29 Disember 2010

Perihal Doa.....


Doa ialah satu ucapan permohonan dari hamba-Nya kepada Allah SWT dengan rendah diri dari hati yang jujur dan ikhlas bagi mendapatkan rahmat, inayah dan pertolongan-Nya atau menolak segala bahaya, bala dan bencana dengan cara dan adab yang tertentu.


Berdoa merupakan salah satu ibadah, iaitu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu ibadah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, penuh tawaduk dan tertib.


Dengan demikian, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan ruh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah SWT. Sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, pada suasana yang baik dan dilakukan di tempat yang betul.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang mukmin seperti diperintahkan- Nya kepada rasul.


Firman-Nya: Wahai rasul, makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mukminun, ayat 51)
Firman Allah lagi, “Wahai orang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).


Kemudian Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa, “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!”, padahal makanannya daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya? (Hadis riwayat Muslim)


Adab berdoa

Kita banyak berdoa…..
tetapi adakah Allah menerimanya?
Sudah kah kita fikirkan kenapa doa kita tidak di terima?
Kalau tidak di terima kecewakah kita?
Sudah kita berbuat sesuatu untuk doa kita diterima Allah?
Adakah kita telah mengikut adab-adab berdoa sebaik mungkin supaya doa kita diterima Allah?
Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab serta syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah.

Setiap doa yang hendak dibaca hendaklah mempunyai sifat dan tujuan yang baik.
Doa yang diucapkan sebaik-baik hendaklah dalam keadaan dan cara seperti berikut:

* Mengetahui tujuan berdoa atau apa yang hendak dipohon dari Allah SWT.
* Doa dibaca dengan betul dan tepat sebutan mahrajnya.
* Doa dibaca dengan suara yang jelas dan sederhana (tidak terlalu laju).
* Doa dibaca dengan suara yang sesuai (tidak terlalu kuat dan sebaliknya).
* Doa dibaca dengan penuh rasa khusyuk dan tawaduk kepada Allah SWT.


Antara adab-adabnya adalah seperti berikut :


1. Pastikan makanan, minuman dan pakaian, adalah dari sumber yang halal. Memakan makanan halal dan baik adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insya-Allah segala yang dimohon akan dikabulkan Allah.


2. Ikhlas dengan Allah semasa berdoa. Ikhlas ini maksudnya, buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan larangan-Nya. Ikhlas bukan sahaja untuk berdoa sebenarnya dalam segala ibadah dan perlakuan kita.


3. Seeloknya didahulukan dengan wudhuk. Sekiranya kita tidak boleh berwudhuk masih juga boleh berdoa.


4. Digalakkan solat sunat 2 rakaat dahulu sebelum berdoa.


5. Mengadap kiblat semasa berdoa.


6. Membuka telapak tangan dan angkat paras bahu semasa berdoa.


7. Berdoa dengan suara yang perlahan dan lembut. Kita bukan menyeru pada yang tuli atau yang jauh, Allah mendengar apa yang kita pinta. Berlemah-lembutlah dengan Allah semasa berdoa tu. Suara tidak terlalu keras dan tak terlalu perlahan.


8. Jangan terburu-buru dengan Allah. Kita meminta dengan berdoa, kita mesti bersangka baik dengan Allah bahawa doa kita sentiasa didengari dan dimakbulkan.

Ada 3 cara Allah makbulkan doa kita:


a) Dengan serta merta


b) Ditangguhkan untuk dimakbulkan di hari akhirat


c) Dijauhi kita dari mara bahaya dan bala bencana.


9. Dahulukan meminta doa untuk diri kita sebelum kita mendoakan orang lain.


10. Meminta doa dengan bersungguh-sungguh. Jangan berdoa seperti ini, “Ya Allah, berikanlah aku petunjuk jika Engkau suka”, sebab Allah boleh buat apa yang Dia mahu, kalau kita berkehendakkan sesuatu mesti bersungguh-sungguh meminta dengan Allah.


11. Jangan sombong dengan Allah semasa berdoa. Kita banyak berdosa, jadi digalakkan kita menyebut kesalahan kita semasa berdoa. Seperti Nabi Adam semasa berdoa, baginda berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diri aku…..”


12. Ulangi hajat kita sebaiknya sebanyak 3 kali ketika berdoa.


13. Jangan berdoa tentang perkara yang haram (seperti nak minum arak, nak menang judi) atau untuk memutuskan silaturrahim. Selagi kita tidak berdoa ke arah ini, insya Allah doa kita akan dimakbulkan dengan salah satu cara macam dalam no 8.


14. Berdoalah untuk hajat yang dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya. Setiap apa yang kita pinta pastikan kita pinta dari Allah. (contoh: nak cepat dapat jodoh atau nak naik pangkat dan lain-lain)


15. Jangan berdoa kepada perkara yang mustahil (contoh: ketul emas di bawah bantal apabila bangun tidur). Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.


16. Seorang imam, tidak boleh hanya meminta doa untuk dirinya sahaja. Mesti menggunakan perkataan yang merangkupi semua jemaahnya.


17. Berdoa dengan bertawassul (perantaraan) dengan orang alim. Dahulu, sahabat nabi bertawasul dengan Saidina Abbas (bapa saudara Rasulullah). Selepas Abbas meninggal dunia, sahabat-sahabat bertawasul dengan Rasulallah sahaja.


18. Bertawassul dengan perbuatan baik kita apabila berdoa. Misalnya jika kita dalam kesusahan yang teramat kita boleh berdoa sambil bertawassul dengan perbuatan baik yang pernah kita buat dahulu. Seperti, mendahului memberi makan kepada ibu bapa sebelum mamberi anak-anak dan keluarga makan.


Tempat berdoa


Tempat yang diharuskan berdoa antaranya ialah di tempat-tempat perhimpunan yang bertujuan untuk kebaikan seperti masjid, dewan, madrasah, rumah kediaman dan tempat terbuka (seperti padang).

Manakala yang tidak diharuskan berdoa ialah di tempat yang terdapat patung manusia atau haiwan, gambar-gambar atau lukisan yang tidak sopan yang terkeluar dari akhlak Islam.
Begitu juga di tempat-tempat yang mengandungi acara atau aktiviti yang berunsur maksiat, ditegah atau bertentangan dengan Islam seperti majlis tari menari atau yang seumpama dengannya.


Saat-saat doa paling mustajab


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, “Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim.



Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud, pasti doamu diperkenankan Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)


Postur sujud ialah menungging dengan meletakkan kedua tangan, lutut, hujung kaki, dan dahi pada lantai. Ketika Allah meminta para malaikat bersujud kepada nabi Adam a.s. bererti inilah tingkat tertinggi dari sebuah penghormatan.


Sujud hanyalah untuk Allah SWT. Allah meminta malaikat sujud hormat, bukan sujud penyembahan dan mengajar kita bahawa tingkat paling tinggi dari rasa hormat adalah “Sujudlah pada-Ku”. Tidak ada penyembahan yang lebih baik daripada sujud.


Itulah sebabnya mengapa umat Islam berbeza daripada umat agama lain. Mereka meletakkan dahinya atau kepalanya yang paling mulia ke tanah. Hal ini sekaligus membuang sifat angkuh seseorang dan menggantinya dengan berserah kepada Tuhan-Nya yang paling Agung. Inilah nilai kehambaan yang sebenar yang mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah.


Kesimpulannya


Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat apa yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut.” (Surah al-A’raf , ayat 55)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Semoga segala doa kita dimakbulkan Allah SWT. Amiin.
Dalam dakwah tiada istilah COPYRIGHT… . Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah SAW telah pun bersabda yang bermaksud, ”Balighu anni walau ayah. (sampaikan daripada ku walau satu ayat)”– Hadis Riwayat Bukhari

Catatan: Artikel ini diambil dari blog lain..cuma maaf bebanyak..dah tak tahu blog yang mana coz dah simpan lama..cuma baru terbitkan. Tak pe lah ye..sama-sama kita jadikan panduan.

10 Ogos 2010

FADHILAT SEMBAHYANG TERAWIH

Diriwayatkan oleh Saidina Ali daripada Rasulullah S.A.W. sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. mengenai fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat Terawih pada bulan Ramadhan.

Malam 1: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan daripada Allah.

Malam 2: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang yang beriman).

Malam 3: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang- orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

Malam 5: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam 6: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat- malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

Malam 7: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.

Malam 8: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

Malam 9: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Malam 10: Allah S.W.T. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.

Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.

Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16: Allah S.W.T. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.

Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19: Allah S.W.T. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.

Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.

Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar)

Malam 23: Allah S.W.T. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.

Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25: Allah Ta’ala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.

Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28: Allah S.W.T. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.

Malam 29: Allah S.W.T. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.

Malam 30: Allah S.W.T. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar.

31 Julai 2010

SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan Al- Mubarak diucapkan kepada semua umat Islam di Malaysia.


26 Julai 2010

NISFU SYA'ABAN 2010

Assalamu'alaikum w.b.t...

Untuk makluman semua.... Hari Nisfu Sya'aban akan tiba pada hari Isnin malam Selasa ( sebaik saja masuk maghrib), 26hb Julai, 2010(selepas magrib pada hari 14 Sya'aban 1430H). Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadah kita kpd Allah dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru. Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib) Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:
1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban, malam = 26 Julai 2010) Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya (15 Sya'aban, malam = 26 Julai 2010)
i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allahii)
Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allahiii)
Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman & pohonlah segala yang baik....
Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x
Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)

3. Baca surah ikhlas 1000x
4. Berpuasa pada siangnya

Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama2 malam Nisfu Syaaban sebanyak 22.
Antaranya yg termasyhur adalah:
1. Malam Dimustajabkan Doa
2. Malam Pembahagian Takdir
3. Malam Rahmat
4. Malam Berkat
5. Malam Pengampunan (Taubat)
6. Malam Penebusan
7. Malam Syafaat
8. Malam Penulisan
9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
10. Malam Rezeki
11. Malam Hari Raya Para Malaikat
12. Malam Penghidupan

Antara kelebihan bulan Sya'aban:
1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api neraka dan dia akan menjadi teman kpd nabi Allah Yusof didalam syurga.

2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (saw) : pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya. Sebaik-baiknya minta ampun dengan ibubapa sebelum hari nisfu sya'aban kerana amalan kita akan terhalang dari diangkat ke langit sekiranya kita derhaka/berdosa dengan ibubapa kita.
Nisfu Syaaban Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya,"Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalah malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)Wallahua'alam

JADI MARILAH KITA BERSAMA2 MEMERIAHKAN LAGI BULAN SYA'ABAN INI DENGAN AMAL IBADAT YANG LEBIH DAN JANGAN LUPA KAWAN2 SEMUA AMBILLAH KESEMPATAN UNTUK BERPUASA PADA 15 SYAABAN NANTI IAITU PADA SELASA 27 JULAI 2010 INI KERANA KITA TIDAK TAHU SAMADA BERKESEMPATAN LAGI UNTUK TAHUN HADAPAN...INSYAALLAH
Diambil dari sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...